Monday 16 January 2012

APA ADA PADA WUDUK?

"WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN,APABILA KAMU HENDAK MENGERJAKAN SEMBAHYANG(PADAHAL KAMU BERHADAS KECIL),MAKA (BERWUDUKLAH)-IAITU BASUHLAH MUKA KAMU,DAN KEDUA BELAH TANGAN KAMU MELIPUTI SIKU,DAN SAPULAH SEBAHAGIAN DARI KEPALA KAMU,DAN BASUHLAH KEDUA BELAH KAKI KAMU MELIPUTI BUKU LALI.."-(surah al-Maidah 5:6)




gambar hiasan
Firman Allah SWT seperti yang tertera di atas adalah dalil pensyariatan amalan berwuduk dalam ajaran islam.Amalan berwuduk mempunyai kepentingan yang besar dalam ibadah.Amat membimbangkan pada hari ini,ada segelintir umat islam tidak kira sama ada tua,muda,lelaki ataupun perempuan,yang sekadar 'melepaskan batuk ditangga' apabila mengambil wuduk.Tidak percaya?Pernahkah anda melihat kelakuan begini:mengambil wuduk sekadar 'letak-letak' air sahaja.Ada pula yang berwuduk dengan cara pantas sehingga langsung tidak memberikan perhatian penuh terhadap setiap aliran air sama ada telah diratakan sepenuhnya kepada anggota wuduk atau sebaliknya.

TAKRIF WUDUK

Mari kita perhalusi makna wuduk daripada sudut bahasa-kalimah wuduk adalah berasal daripada perkataan 'al-wadha'ah' yang membawa maksud elok dan berseri.Manakala daripada aspek syarak pula wuduk bermaksud perbuatan menggunakan (meratakan) air pada anggota-anggota tertentu dengan disertakan niat.

HUKUM WUDUK SEBELUM SOLAT

Amalan wuduk mempunyai kedudukan yang tinggi dan menjadi syarat dalam ibadah solat.Dengan kata lain,jika seseorang muslim itu tidak berwuduk sebelum menunaikan solat,maka solatnya dikira tidak sah menurut pandangan syarak.Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim:"Allah tidak akan menerima solat seseorang daripada kamu yang berhadas sehinggalah dia berwuduk."

RUKUN WUDUK

Menurut ulama' mazhab Syafi'i,rukun-rukun wuduk adalah seperti berikut:

cara mengambil wuduk dengan sempurna

  • niat
  • membasuh muka 
  • membasuh kedua-dua belah tangan hingga ke siku
  • menyapu sebahagian daripada kepala walaupun sehelai rambut selagi mana rambut tersebut berada di kawasan kepala
  • membasuh dua belah kaki hingga ke buku lali
  • tertib iaitu mengikut urutan seperti yang dinyatakan di atas.
PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDUK

Wuduk akan terbatal disebabkan 5 perkara seperti berikut.Jika berlaku mana-mana salah satu daripada perkara ini, maka akan terbatal wuduk dan perlulah diulangi semula wuduk tersebut.5perkara tersebut adalah seperti berikut:
  1. keluar sesuatu sama ada daripada qubul ataupun dubur contohnya air kencing,tahi,darah,kentut dan sebagainya.
  2. tidur dalam keadaan tidak tetap punggungnya,kecuali tidur dalam keadaan rapat kedua-dua papan punggung dan tempat duduk.
  3. hilang akal sama ada disebabkan oleh mabuk,pitam,sakit atau gila.
  4. seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan ajnabiah tanpa berlapik.Apabila bersentuhan dalam keadaan tidak berlapik dan berwuduk,maka akan terbatal wuduk bagi mana-mana pihak yang berwuduk.
  5. menyentuh kemaluan sendiri atau orang lain sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.
MENGAPA PERLU KITA MENGAMBIL WUDUK DENGAN SEMPURNA?

Ilmu berkaitan tatacara berwuduk amatlah penting untuk kita fahami sebagai usaha memastikan wuduk kita benar-benar menepati fiqah selain menjulang tinggi falsafahnya.Tidak terhenti sekadar itu,sebenarnya Allah SWT telah menyediakan tawaran luar biasa bagi sesiapa yang bersungguh-sungguh dan berusaha berwuduk dengan cara yang paling sempurna.Allah telah menjanjikan keampunan dosa kepada orang ynag berwuduk dengan sempurna.Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah hadis Nabi SAW:
"sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik,dosa-dosanya keluar daripada badannya sehingga keluar dari bawah jari-jarinya."
Oleh yang demikian,marilah sama-sama kita menyempurnakan wuduk dengan sebaik mungkin.Perkara rukun dibuat sehabis baik,begitu juga perkara sunat.Mudah-mudahan Allah menerima amalan tersebut.Moga hari ini lebih baik dari semalam ! Ayuh teman,kita sempurnakan wuduk !

No comments:

Post a Comment