Setiap  isteri amat mendambakan seorang suami yang boleh menjadi pembantu dan  juga penyenang hatinya, bukan hanya si isteri sahaja yang perlu  menyenangkan dan juga menolong suaminya. Inilah rahsia kebahagiaan rumah  tangga yang jika suami dan isteri sama-sama dapat memahami dan memenuhi  keperluan dan kehendak pasangannya, rumah tangga yang sedia terbina  akan terus terjalin bahagia dan dibarkahi.
Berikut adalah  beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada suami mahupun bakal  suami dalam meningkatkan pengetahuan tentang kehendak hati isteri dan  sekaligus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan si isteri terhadap  suami dalam memimpin keluarga.
1. Imam Solat
Suami yang mampu  menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah  tangganya. Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti  yang sememangnya menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam  dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan  yang lebih baik dalam agama.
2. Mengajarkan ilmu-ilmu agama
Ini  adalah perkara mencabar untuk anda wahai bakal suami dan para suami  kerana bukan untuk kita membimbing keluarga dengan ilmu-ilmu agama.  Ramai di antara kita hari ini mampu menyediakan peralatan hiburan di  rumah tetapi tidak dapat menyediakan peralatan untuk mengajarkan  ilmu-ilmu agama. Sekiranya kita tidak mampu, carilah guru yang dapat  membimbing kita dan keluarga kita.
3. Suami yang matang
Ramai  suami nampak matang sebelum mendirikan rumah tangga, tetapi hakikatnya  tidak setelah mereka berkeluarga. Suami perlu matang dalam memberikan  keputusan kerana isteri tetap akan meminta pandangan suami walaupun dia  mungkin dapat membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.
4. Pandai Memasak
Suami  adalah penjaga kepada isteri dan anak-anak. Jangan kita hanya menjadi  suami yang hanya tahu memakan air tangan isteri, kerana sebenarnya  isteri juga akan lebih menyayangi suami yang pandai memasak. Air tangan  suami juga mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri dan juga  anak-anak.
5. Suami yang ‘independent’
Tahu menguruskan diri  sendiri. Jangan hanya mengharapkan isteri untuk membasuh pakaian dan  menggosok baju kerana ada waktunya mungkin isteri kita tidak dapat  melakukan itu semua. Suami yang mampu melakukan kerja-kerja isteri mampu  kelihatan comel dan romantik di mata si isteri. Cubalah, anda pasti  akan nampak hasilnya nanti!
6. Mempunyai prinsip dan pendirian
Suami  tidak boleh kelihatan lemah dengan hanya mendengar dan mengikut  pandangan ahli keluarga sekiranya berlaku masalah keluarga.. Pendirian  ini akan menunjukkan bahawa anda suami yang hebat di mata isteri.  Pandangan ahli keluarga hanyalah pembimbing bukanlah keputusan kepada  masalah anda.
7. Menjaga anak-anak bersama isteri
Banyak  berlaku di kalangan kita, isteri ditatang bagai minyak yang penuh ketika  sedang mengandung, tetapi setelah selamat bersalin suami hanya  menyerahkan penjagaan anak kepada isteri sepenuhnya. Lebih-lebih lagi  jika anak yang dilahirkan bukan anak sulong. Isteri mengalami kepenatan  menguruskan rumah tangga 2 kali ganda selepas melahirkan anak.  Tanggungjawab ini juga perlu dirasai oleh suami. Bersamalah bangun malam  ketika anak menangis kelaparan. Pastinya isteri akan lebih menghargai  kerjasama yang anda berikan.
8. Jadilah suami serba tahu
   Suami  yang serba boleh dengan erti kata mempunyai pengetahuan yang  serba-serbi. Isteri amat rasa kagum apabila suaminya mempunyai  pengetahuan dalam pelbagai bidang. Baik dari selok-belok rumah tangga,  ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Suami yang sebegini bukan  sekadar disayangi isteri bahkan juga disayangi mertua.
   
   Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM
 








 
 
No comments:
Post a Comment